Monday, October 7, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Bab 6 Blog Di Dalam Kelas Bahasa


BLOG DI DALAM KELAS BAHASA


Bab ini membincangkan tentang blog yang merupakan media sosial yang menjadi pilihan pelajar atau kebanyakan masyarakat dalam mencipta satu medium perbincangan bertulis sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal ( Normaliza Abd Rahim, 2014). Kegunaan blog ini bukan sahaja untuk tujuan menyampaikan maklumat berunsur ilmiah sahaja, malahan blog juga boleh digunakan bagi tujuan peribadi atau dijadikan medium untuk mempromosikan produk atau iklan. Blog ini sangat memberi manfaat kepada pengguna kerana banyak info-info yang boleh didapati melalui blog ini.

            Kajian tentang blog ini telah banyak dilakukan oleh penyelidik-penyelidik yang masing-masing memberikan definisi yang tersendiri tentang pandangan mereka terhadap penggunaan blog. Satu kajian tentang blog ini menyatakan bahawa blog merupakan medium dialog di antara penulis blog dan pembaca, pembaca dengan pembaca yang lain dan penulis blog dengan penulis blog yang lain.
            Kajian lain pula menyatakan bahawa blog merupakan laman web yang dikemas kini mengikut susunan kronologi manakala bahasa yang digunakan juga tidak formal dan tidak terhad ( Nowson, 2006 ). Walaupun penggunaan blog ini tidak formal dan tidak mementingkan bahasa yang baku, para penulis blog harus tahu tentang etika-etika penulisan blog supaya tidak kelihatan membosankan dan sendu. Oleh itu, Normaliza Abd Rahim(2014) ada menyatakan bahawa terdapat 10 cara atau kegunaan untuk menulis blog. Antaranya ialah penulis harus tahu memilih tajuk yang menarik yang boleh menangkap minat pembaca untuk terus mengikuti laman blognya. Tajuk yang menarik haruslah diikuti dengan cerita dan pengisian cerita yang menarik. Contohnya, penulis boleh menggunakan ayat-ayat berunsur jenaka dan boleh mengundang tawa pembaca.

            Blog ini bukan sahaja digunakan atau menjadi pilihan pelajar tempatan, malah pelajar-pelajar dari luar negara juga menjadikan blog sebagai platform untuk mempelajari bahasa tempatan, terutamanya apabila blog ini diperkenalkan kepada pelajar-pelajar Korea untuk mempelajari bahasa kedua.

            Dapat diringkaskan bahawa dalam penulisan blog, terdapat tiga bahagian yang dibincangkan. Bahagian yang pertama ialah kegunaan blog dalam Pengajian Kesusasteraan, blog dalam Pembelajaran Bahasa dan blog dalam Pembelajaran Teknologi. Ketiga-tiga bahagian ini mempunyai pecahan yang tersendiri yang dilakukan oleh penyelidik untuk melihat sejauh manakah penggunaan blog ini diterima. Keputusan kajian jelas menunjukkan bahawa blog banyak membantu para pelajar untuk mempelajari kesusasteraan, bahasa dan pembelajaran teknologi. Penulisan blog juga boleh meningkatkan jati diri dan motivasi diri.  

No comments:

Post a Comment

BBM3410Satu2019: Ulasan Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi Normaliza Abd Rahim (2019)

Ulasan buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi m...